Apa Itu Pendarahan Ringan Dan Adakah Ia Normal?
Spotting ialah pendarahan ringan dari faraj. Ia serupa dengan haid, tetapi ringan sedikit. Warna darahnya pula berbeza, dari merah hingga ke coklat.
Adalah normal bagi anda merasa bimbang jika ternampak ada pendarahan berlaku. Sebenarnya, pendarahan yang berlaku dalam minggu-minggu awal kehamilan biasa berlaku. Satu perempat daripada wanita hamil mengalami pendarahan dalam trimester pertama.
Punca Utama Pendarahan Semasa Hamil
Dalam fasa awal kehamilan, pendarahan ringan biasanya tidak membahayakan. Ia biasanya berlaku sekitar waktu anda biasanya datang haid dan berlangsung selama satu atau dua hari. Anda mungkin hanya menyedarinya ketika membuang air kecil.
Walaupun pakar-pakar tidak pasti apakah puncanya, namun ia mungkin disebabkan oleh:
- Hormon yang mengawal kitaran haid anda mencetuskan pendarahan apabila sampai waktu anda sepatutnya datang haid. Ini dipanggil pendarahan "penembusan" (breakthrough). Anda mungkin mengalaminya lebih daripada sekali.
- Pelekatan telur yang telah disenyawakan pada lapisan uterus anda menyebabkan pendarahan. Ini dipanggil pendarahan implantasi. Ini lebih jarang berlaku berbanding pendarahan penebusan.
Mungkin ada perkara-perkara lain yang sedang berlaku dalam badan anda yang menyebabkan pendarahan ini:
- Pintu masuk ke uterus anda iaitu serviks mungkin terengsa. Hormon kehamilan boleh mengubah permukaan serviks membuatkan ia cenderung untuk berdarah. Contohnya, anda mungkin berdarah sedikit selepas hubungan seks.
- Anda mungkin mempunyai fibroid. Fibroid ialah ketumbuhan pada dinding rahim. Jangan bimbang, fibroid bukannya kanser. Kadang-kala plasenta melekat di mana terdapatnya fibroid.
- Mungkin terdapat ketumbuhan kecil pada serviks anda. Ini dipanggil polip serviks (cervical polyp) dan ia tidak membahayakan.
- Anda mungkin mengalami jangkitan serviks atau jangkitan faraj.
1. Keguguran
Malangnya, pendarahan pada awal kehamilan mungkin juga merupakan tanda keguguran atau kehamilan ektopik (kehamilan di luar rahim). Dalam kedua-dua kes ini, anda juga biasanya akan mengalami sakit perut dan kekejangan.
Keguguran pada awal kehamilan biasanya berlaku apabila bayi tidak berkembang dengan betul. Pendarahan daripada keguguran beransur-ansur menjadi banyak. Keguguran awal memang menyedihkan, tetapi malangnya, ia sangat biasa berlaku. Malah, sesetengah wanita mengalami keguguran sebelum mereka tahu bahawa mereka hamil dan menganggap mereka hanya datang haid.
2. Kehamilan ektopik
Kehamilan ektopik pula berlaku apabila telur yang disenyawakan melekat pada bahagian luar uterus. Jika anda mengalami kehamilan ektopik, pendarahan mungkin berlaku tanpa henti dan darahnya berwarna gelap dan cair seperti jus prun. Kehamilan ektopik boleh membuatkan anda sakit teruk, oleh itu ia perlu ditamatkan segera.
3. Kehamilan molar
Punca pendarahan yang lebih jarang berlaku ialah kehamilan molar. Ia menjejaskan kira-kira satu dalam 700 kehamilan. Kehamilan molar berlaku apabila embrio tidak membesar dengan betul tetapi sesetengah sel yang membentuk plasenta terus membesar secara abnormal. Kehamilan molar perlu digugurkan dengan segera.
4. Jatuh
Kemungkinan juga pukulan kepada perut, contohnya jika anda terjatuh, menyebabkan pendarahan.
Apa Yang Harus Anda Lakukan Jika Mengalami Pendarahan Semasa Hamil
Hubungi doktor atau hospital, walaupun sekiranya pendarahan itu akhirnya berhenti sendiri. Anda masih perlu pergi ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.
Doktor anda mungkin memeriksa bahagian dalam faraj, atau dia mungkin menasihatkan anda supaya membuat imbasan ultrasound. Imbasan boleh mengetepikan kehamilan di luar rahim dan memeriksa keadaan bayi.
Doktor anda mungkin mahu membuat beberapa ujian rutin. Darah dan air kencing anda mungkin diuji untuk melihat tahap hormon kehamilan anda. Ujian untuk memeriksa kumpulan darah dan status resus anda juga mungkin akan dijalankan.
Klik sini untuk info tentang keperluan vitamin semasa hamil
No comments:
Post a Comment