Tuesday 12 April 2016

Pengalaman Melakukan Ujian Pap Smear Untuk Kanser Pangkal Rahim


Assalamualaikum wbt

Siapa yang belum pernah buat ujian pap smear? Ataupun, mungkin ada yang belum pernah pun dengar perkataan pap smear.

Saya sendiri, pertama kali tahu tentang pap smear ni, waktu bersalin anak yang pertama. Sebab lepas bersalin tu, doktor ada bagi appointment untuk buat ujian pap smear. Tapi, jujurnya, saya tak buat pun test tu waktu tu. Sama juga selepas bersalin anak kedua. Tak buat juga. Ada la terbaca juga kepentingan buat ujian pap smear ni, tapi entah kenapa rasa malu dan takut nak buat.

Sampai la dah bertahun-tahun, anak-anak pun dah masuk sekolah semua, barulah timbul kesedaran dan terbuka hati nak buat ujian pap smear ni.

Pengalaman Saya Pertama Kali Buat Ujian Pap Smear

So, bulan lepas saya beranikan diri pergi buat ujian pap smear. Kebetulan waktu tu anak-anak ada kat kampung sebab cuti sekolah, so senangla sikit, pergi berdua je dengan cik abang. Takut-takut jer nak cakap kat doktor tu ni baru first time nak buat pap smear. Takut kena marah. Hihi. Doktor tu takla marah, tapi macam berubah sikit la air muka dia. Dia tanya tak pernah tau ke tentang ujian ni, sebab sepatutnya dah lama buat.


Doktor tu ada share 3 benda penting yang saya rasa patut saya kongsikan kat sini. Ada 3 routine check-up yang semua kaum wanita perlu buat:

1. Pemeriksaan payudara
Lakukan pemeriksaan sendiri di rumah untuk mengesan sebarang ketulan, benjolan, biji, kulit yang berubah atau ada keluar sebarang cecair. Early detection untuk ketumbuhan atau kanser payudara.
Routine : at least 1 kali sebulan

2. Ultrasound
Jumpa doktor untuk buat pemeriksaan ultrasound sekitar rahim untuk mengesan sebarang ketumbuhan, fibroid dan cyst yang juga boleh membawa kepada risiko kanser.
Routine : 1 kali setiap 1-3 tahun

3. Pap smear
Jumpa doktor untuk buat ujian pap smear untuk mengesan kanser pangkal rahim / serviks, sebaik sahaja selepas kahwin atau dah mula melakukan hubungan seks.
Routine : 1 kali setiap 1-3 tahun

Bagus doktor ni, buat saya lagi alert tentang kesihatan sendiri. Berdebar-debar juga rasa waktu buat chek-up ni. Yang ujian pap smear tu, sekejap jer and tak sakit pun. Cuma, waktu saya buat tu, ada bleeding sikit. Ya Allah risau betul. Doktor pun tak cakap apa-apa, cuma perlu tunggu result jer. Result dah dapat pun actually, syukur Alhamdulillah, normal dan takde apa-apa yang merbahaya.

Kepentingan Buat Ujian Pap Smear

Tahukan anda ujian pap smear ini menyelamatkan jiwa jutaan wanita di seluruh dunia daripada kanser pangkal rahim / serviks.

ujian pap smear - women online magazine

Setiap minit, seorang wanita disahkan menghidap kanser pangkal rahim / serviks di dalam dunia. Bahkan, kanser tersebut merupakan pembunuh kedua tertinggi wanita di Malaysia selepas kanser payudara! Kanser kanser pangkal rahim / serviks boleh menyebabkan keseluruhan rahim dibuang dan menyebabkan wanita itu tidak boleh mengandung lagi. Malah pengesanan yang lambat juga boleh meragut nyawa akibat keseriusan kanser tersebut.

Kanser ini boleh berlaku kepada mana-mana wanita yang pernah melakukan seks walaupun sekali sahaja. Tidak kira usia dan gaya hidup kerana ia terjadi akibat jangkitan Human Papillomavirus (HPV) ketika hubungan intim. Ironinya, kanser serviks boleh dicegah dengan pengesanan awal melalui ujian pap smear tetapi ramai wanita memberi seribu satu alasan mengelak daripada melakukan ujian yang mampu menyelamatkan nyawa ini, antaranya takut la, malu la.

Apa itu Ujian Pap Smear?


  • Ujian PAP ini juga dikenali sebagai Pap Smear (ujian papanicolaou). Ujian ini dilakukan dengan mengambil sedikit tisu dari pangkal serviks. Kemudian, tisu itu dihantar ke makmal untuk mengesan tisu-tisu yang abnormal dan berpotensi untuk menjadi kanser.
  • Biasanya sel serviks tidak berubah menjadi sel kanser dalam masa semalaman. Sel yang normal akan mengalami beberapa perubahan dalam jangka masa tertentu sebelum menjadi sel kanser. Ujian pap smear boleh mengesan perubahan pada sel di peringkat awal sebelum ia berubah menjadi sel kanser.
  • Masa yang diambil bagi sel normal untuk menjadi sel kanser adalah di antara dua hingga 10 tahun. Jadi, sekiranya pap smear dilakukan setiap tiga tahun, peluang untuk mengesan sel-sel yang berpotensi menjadi sel kanser adalah cerah sebelum ia menjadi kanser serviks.
  • Rawatan di peringkat awal mempunyai peluang yang cerah untuk sembuh. Di samping itu juga, semasa prosedur pap smear, doktor juga boleh mengesan polip dan jangkitan. Tahukah anda bahawa prosedur pap smear ini begitu cepat, iaitu kurang lima minit masa diambil untuk menjalani ujian tersebut dan ia tidaklah menyakitkan seperti yang sering digambarkan, cuma ada sedikit rasa tidak selesa.
Bila & Siapa Sebaiknya Melakukan Ujian Pap Smear?


Anda patut melakukan ujian pap smear setelah anda mula mengamalkan seks atau mencapai umur 26 tahun sehinggalah anda berusia 70 tahun.

Anda digalakkan untuk menjalani ujian ini setiap tahun selama dua tahun. Sekiranya keputusan itu negatif, anda digalakkan mengulangi setiap tiga tahun sekali.

Apakah Persediaan Awal Yang Patut Anda Lakukan?
  • Elakkan daripada sebarang penggunaan ubat dalam faraj dalam tempoh sehari sebelum ujian. Sebagai contoh ubat anti fungal, ubat maajun, krim vagina dan sebagainya.
  • Elakkan daripada menggunakan tampon.
  • Paling sesuai dilakukan pada hari ke-7 hingga ke-10 selepas hari pertama haid. Ujian ini tidak dapat dijalankan semasa anda kedatangan haid.
  • Anda tidak digalakkan melakukan hubungan seks 24 jam sebelum ujian dijalankan kerana ia menyebabkan keputusan yang tidak tepat.
  • Jangan lakukan ‘duoche’ atau gunakan ‘spermicid’, perancang keluarga, kaedah halangan atau penggunaan ‘jelly lubricant’ dua hari sebelum ujian dijalankan kerana bahan kimia yang terdapat dalam bahan tersebut mungkin boleh memberi kesan kepada kualiti sampel.
Apa Yang Dilakukan Semasa Ujian Pap Smear?
  1. Anda akan diminta untuk berbaring di atas katil dengan lutut dinaikkan dan dibengkokkan.
  2. Spekulum (muncung itik), sepanjang empat inci,akan dimasukkan ke dalam vagina untuk membolehkan ia terbuka.
  3. Dengan pandangan selari, doktor akan memasukkan spatula kayu, untuk mengambil sampel sel dari servik.
  4. Sampel tersebut kemudiannya disebarkan di atas slaid kaca dan di sembur dengan alkohol. Seterusnya, ia dihantar ke makmal untuk diperiksa oleh ahli patologi.
  5. Anda akan berasa sedikit tidak selesa. Walaubagaimanapun, keseluruhan prosedur ini tidak menyakitkan.

Berapa Lama Keputusan Akan Diketahui?

Anda boleh mendapatkan keputusan anda dalam masa seminggu. Namun,boleh jadi anda akan mendapat keputusan tersebut lewat dalam tiga minggu hingga tiga bulan bergantung kepada beban kerja makmal dan klinik tersebut.

Macam saya hari tu, lepas 3 minggu baru dapat keputusan. Patutnya 2 minggu je, tapi sebab doktor tu cuti, so delay sikit. Punyala lama berdebar-debar tunggu keputusan, sampaikan hari-hari pun asyik terfikir-fikir.

Sekiranya keputusan anda abnormal, jururawat akan menghubungi anda dan meminta anda untuk datang semula untuk membuat ujian ulangan serta berunding dengan doktor. Walaubagaimanapun, keputusan yang abnormal tidak bererti anda menghidap kanser serviks sebaliknya, ia bererti anda memerlukan pemeriksaan lanjut.

Di Mana Anda Boleh Menjalani Ujian Ini?

Anda boleh menjalani ujian pap smear di
  • klinik sakit puan
  • pusat bersalin 
  • mana-mana klinik pengamal perubatan yang menawarkan ujian pap smear.
Dekat hospital kerajaan pun ada kalau tak silap. Saya buat hari tu dekat pakar sakit puan hospital swasta. Ada package juga test tu, memandangkan saya ni first time buat kan, husband terus ambik package yang paling detail.


Mudah-mudahan info yang saya kongsikan ni, memberi manfaat untuk anda ya. If ada suami yang terbaca, mungkin anda boleh galakkan isteri anda buat ujian ni.

Sebagai wanita ni, kita perlulah  mengambil inisiatif melakukan ujian pap smear sebagai langkah berjaga-jaga. Buang rasa takut, buang rasa malu. Penting sangat untuk mengesan awal sebarang sel yang tak normal yang boleh membawa kepada kanser.
Saya pun insyaAllah lepas ni akan sentiasa buat routine check up ni.

Thanks for reading :)

1 comment:

mama cat said...

Klu klinik swasta berapa kena ye