Monday, 19 September 2016

Kaki Bengkak Semasa Hamil. Bahaya Ke ?


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Kaki membengkak adalah fenomena biasa bagi ibu yang mengandung. Kebiasaannya, bengkak ini akan bermula dari buku lali, betis dan menular naik ke paras paha. Ianya tak menyebabkan kesakitan, cuma kadang kala menyukarkan aktiviti harian si ibu.

Kaki bengkak ketika hamil juga dikenali sebagai edema.


Bagaimana kaki boleh membengkak semasa mengandung

Situasi ini kebiasaannya terjadi selepas usia kandungan mencecah 20 minggu. 

Waktu ini, janin sudahpun membesar akan menekan salur ‘inferior vena cava’ (salur darah untuk membawa darah dari seluruh badan kembali ke jantung). Ini menyebabkan perjalanan darah kurang lancar serta berkumpul pada kedua-dua belah kaki. 

Perkara ini juga mengakibatkan perubahan tekanan di dalam salur pembuluh darah menyebabkan cecair badan akan tertapis keluar daripada salur darah dan berkumpul di celah-celah tisu badan. Oleh itu, kedua-dua belah kaki akan mula membengkak. Semakin banyak air tertapis keluar dari saluran darah, semakin besarlah bengkak pada kaki.

Bahaya ke kalau kaki bengkak ni

Bengkak pada kaki adalah proses biasa semasa mengandung. Bengkak pada kaki ini akan pulih selepas bersalin.

Tetapi, sekiranya bengkak ini semakin teruk sehingga ke paras pinggang, muka, di celah-celah jari dan bahagian kelamin, ini mungkin sesuatu yang abnormal. Hal ini perlu dipantau dengan lebih serius.

Bengkak yang melibatkan hanya sebelah kaki juga perlu dipantau dengan teliti. Sekiranya bengkak sebelah kaki ini diiringi dengas rasa sakit pada betis, lenguh dan sukar untuk berjalan seperti biasa, segeralah berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.


7 Tips untuk mengurangkan bengkak pada kedua belah kaki

1. Minum air masak yang mencukupi

Kebanyakan ibu takut untuk meminum air kerana beranggapan bahawa minum air yang banyak akan menyebabkan kaki lebih membengkak. Tapi, jangan risau ya, sebaliknya kita perlu minum air masak secukupnya untuk bantu proses dehidrasi dan perkumuhan dalam badan.

2. Meninggikan kaki semasa baring


Letakkanlah bantal di bawah kaki supaya aras kaki menjadi lebih tinggi dari pada paras jantung. Tarikan graviti boleh mengurangkan pengumpulan air pada kaki. Amalkan pada waktu malam.

3. Baring mengiring

Dengan mengamalkan posisi ini, janin tidak akan menekan salur inferior vena cava dan pengaliran darah ke jantung akan lebih lancar.

4. Aktif bergerak

Anggapan bahawa kaki akan lebih membengkak jika banyak bergerak adalah tidak benar. Pergerakan aktif adalah lebih baik untuk ibu hamil kerana pengaliran darah akan lebih lancar. Secara tidak langsung, ia boleh mengelakkan pembentukan darah beku pada salur darah kaki.

5. Compression stockings 

Setokin ini tidak sama seperti setokin harian yang biasa kita guna. Setokin ini direka khas untuk membantu melancarkan pengaliran darah pada kaki. Ianya mempunyai keregangan tersendiri dan perlu diukur dengan tepat daripada aras paha hingga ke tapak kaki. Setiap bahagian stokin ni mempunyai tekanan dan keregangan yang berlainan. Compression stocking ini digalakkan penggunaannya pada waktu malam semasa tidur untuk disesuaikan dengan pengaliran darah menjadi perlahan semasa baring. Boleh dapatkan di farmasi.

6. Kasut yang selesa

Sila gunakan kasut yang longgar dan bertapak rata untuk mengelakkan tekanan pada kaki yang boleh menyebabkan kesakitan.

7. Amalkan pemakanan yang sihat

Ibu mengandung perlu menjaga pemakanan dan mengamalkan pemakanan yang sihat. Kurangkan atau jauhi makanan segera dan makanan yang diproses. Makanan sebegini mengandungi kalori dan lemak berlebihan berbanding nutrisi vitamin yang baik untuk ibu dan bayi. Malah boleh menyebabkan pertambahan berat badan berlebihan serta risiko penyakit lain seperti kencing manis dan sebagainya.

Gantikan makanan ini dengan pengambilan makanan yang sihat seperti bijirin, sayur dan buah-buahan. Pengambilan supplement tambahan juga amat perlu bagi menampung keperluan nutrisi sepanjang kehamilan.

Jangan sesekali abaikan nutrisi sepanjang kehamilan, seperti Vitamin C, B Complex, kalsium, zat besi untuk kesihatan ibu dan bayi di dalam kandungan.


Untuk info lanjut tentang tips pemakanan dan pengambilan vitamin semasa hamil >> KLIK SINI


No comments: