Tuesday, 7 April 2015

Tips Kurus: Tangani Obesiti Cara Islam


Obesiti oh obesiti...
Isu ini tidak pernah sepi dalam masyarakat hari ini. Ia berkait rapat dengan soal pemakanan dan kesihatan. Apatah lagi Malaysia terkenal dengan syurga makanan yang menawarkan pelbagai sajian 24 jam, tanpa perlu memasak di dapur.

Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, obesiti bermaksud kegemukan yang disebabkan terdapat lemak yang berlebihan. Masalah obesiti ini berlaku kepada semua peringkat usia masyarakat. Ini adalah berkaitan dengan malnutrisi iaitu kekurangan makanan seimbang.

Penularan masalah obesiti kian pesat dalam masyarakat hari ini berkaitan dengan cara pengambilan makanan harian. Hampir 50 peratus orang dewasa di negara ini mengalami obes, tetapi masih tidak mempedulikannya.

Islam adalah sistem hidup yang mengiktiraf kesihatan dalam aspek fizikal, spiritual dan mental. Berlebihan dalam pengambilan makanan tidak digalakkan dalam Islam.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:

"Tidak ada satu wadah (bekas) yang dipenuhi oleh anak Adam lebih buruk daripada perutnya.
Cukuplah bagi anak Adam beberapa suap makanan yang dapat menegakkan tulangnya. Jika ia harus mengisi perutnya lebih daripada itu, maka sepertiga untuk makanannya, sepertiga untuk minumnya dan sepertiga untuk pernafasannya." (Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmidzi)

Jangan bertuhankan perut

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud:

Dan Dialah (ALLAH) yang menjadikan (untuk kamu) kebun-kebun yang menjalar tanamannya dan yang tidak menjalar dan pohon-pohon tamar (kurma) dan tanaman-tanaman yang berlainan (bentuk, rupa dan) rasanya dan buah zaitun dan delima yang bersamaan (warnanya atau daunnya) dan tidak bersamaan (rasanya).

Makanlah daripada buahnya ketika ia berbuah dan keluarkanlah haknya (zakatnya) pada hari memetik atau menuainya dan janganlah kamu melampau (pada apa-apa jua yang kamu makan atau belanjakan); sesungguhnya ALLAH tidak suak kepada orang yang melampau. (Surah al-An'am: 141)

Dalil di atas menunjukkan kemurahan ALLAH SWT dan keluasan yang dikurniakan-Nya kepada hamba-Nya dalam soal makan minum.

Diharuskan bagi mereka memakan semua jenis makanan asalkan ia halal dan baik, tidak lupa mensyukuri-Nya, tidak berlebih-lebihan dan tidak membazir menuruti tabiat syaitan.

Halal ertinya diharuskan, yakni tidak terikat dengan larangan ataupun pengharaman.
Manakala tayyib bererti suci. Makna asalnya adalah apa yang diperoleh kelazatan dan kebaikan daripadanya. Ia merangkumi kebaikan dunia dan akhirat.

Kategori baik itu adalah makanan yang terbukti kebaikannya kepada kesihatan, berdasarkan bukti ilmiah. Dari segi nutrisi, baik buruk makanan diambil seseorang bergantung kepada banyak faktor, antaranya adalah keadaan kesihatan, cuaca, dan pekerjaan.

"Terdapat banyak hadis yang menyebut mengenai makanan tertentu dimakan oleh Rasulullah, yang Baginda gemari ataupun yang menunjukkan kepada galakan Baginda agar kita memakannya.

"Mungkin daripada hadis-hadis inilah timbul akhir-akhir ini istilah makanan sunnah yang menjadi slogan golongan peniaga dan pengeluar makanan tertentu untuk menarik perhatian pelanggan membeli dan menggunakan barangan keluaran mereka."

Pemakanan sunnah merujuk kepada adab makan dianjurkan Rasulullah SAW adalah termasuk dalam Sunnah yang digalakkan kita mengikuti dan mencontohi kerana wujud padanya tujuan mendekatkan diri kepada ALLAH dengan mencontohi Baginda SAW.


Sunnah Rasulullah SAW

Islam telah menggariskan panduan dan petunjuk yang komprehensif berkaitan kehidupan manusia dan juga isu saintifik berkaitan.

Penjagaan kesihatan yang ditunjukkan Nabi Muhammad SAW adalah bersifat pencegahan dan perlindungan kesihatan tubuh badan.

1. Makan secara sederhana

Setiap individu perlu mengambil makanan mengikut keperluan masing-masing. Ia bergantung kepada tahap kesihatan seseorang, jantina, umur, gaya hidup dan pekerjaan.

Makan berlebih-lebihan mengundang masalah obesiti dan masalah kesihatan seperti diabetes, tekanan darah tinggi, penyakit jantung dan ketidakselesaan anggota badan.

Panduan Diet Malaysia juga mencadangkan agar mengambil makanan dengan menepati prinsip keseimbangan, kesederhanaan dan kepelbagaian.

2. Makan kepelbagaian makanan dan seimbang

Menurut Ibnu Qayyim al Jauziyyah tidak pernah menjadi tabiat kelaziman Rasulullah SAW untuk memakan sejenis makanan sahaja tetapi Baginda SAW memakan pelbagai makanan.

Baginda SAW juga memakan makanan yang dimakan di negerinya seperti daging, buah-buahan, kurma atau makanan lain. Apabila Rasulullah SAW tidak menyukai sesuatu jenis makanan, maka Baginda tidak menjamahnya.

Tiada makanan yang menyediakan pelbagai zat lengkap. Justeru, setiap individu perlu mengambil pelbagai jenis makanan untuk menjaga kesihatan.

3. Makan berjemaah atau beramai-ramai.

Daripada Ibnu Umar, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Makanlah kamu secara berkumpulan dan janganlah kamu makan secara terpisah. Sesungguhnya makanan yang disediakan untuk seorang mencukupi untuk dua orang.
Makanan yang disediakan untuk dua orang mencukupi untuk empat orang. Makanan yang disediakan untuk empat orang mencukupi untuk lapan orang." (Riwayat Muslim)


Imam Ibn Hajar berkata dalam kitab Fath al-Bari:

"Sesungguhnya keberkatan semakin bertambah apabila bertambahnya bilangan orang yang turut serta berkongsi makanan tersebut."

4. Aktiviti fizikal dan kerehatan

Rasulullah SAW biasa berjalan kaki dalam aktiviti seharian. Menurut Ibnu Kathir, cara berjalan Rasulullah SAW adalah melangkah dengan cepat seperti langkah mengikut jalanan menurun.

Gaya berjalan sebegini adalah bentuk senaman aerobik dan merupakan aktiviti paling murah. Rasulullah SAW juga menganjurkan supaya mendidik anak dengan berenang, memanah dan berkuda.

Kerehatan juga diperlukan untuk menjamin kesihatan tubuh. Badan juga perlu untuk berehat setelah melakukan pelbagai aktiviti.

Oleh itu, gaya hidup sihat yang menekankan kesederhanaan dalam melakukan sesuatu aktiviti dan kerehatan akan membantu kita mencapai kecergasan fizikal dan menyumbang kepada kesihatan baik.

Manusia bukan robot

Kita perlu bersederhana dan seimbang dalam semua aspek kehidupan kita termasuk pemakanan. Kapasiti makanan adalah mengikut keperluan individu dan jenis pekerjaannya.

Jika ambil lebih daripada keperluan, ia akan menjadi terlebih. Dari segi jangka pendek ia tak nampak, tetapi memberi kesan untuk jangka panjang.

Manusia bukan robot, sebaliknya memerlukan kepelbagaian dalam makanan untuk sihat. Makanan merupakan pelaburan kesihatan.

Faktor berkaitan dengan kesihatan terbahagi kepada dua iaitu aset tetap (sejarah keluarga, umur dan jantina) dan aset boleh diubah (cara hidup, pilihan makanan dan senaman).

Antara objektif makanan sihat adalah kawal saiz makanan/hidangan; kurangkan pengambilan lemak/kolesterol; tingkatkan pengambilan serat dan air; serta kurangkan pengambilan gula dan garam.

Makanan membekalkan tenaga bagi menjalankan tanggungjawab dan peranan sebagai hamba ALLAH. Dalam Islam, makanan itu membentuk hati. Jika banyak makan, hati mati.

"Oleh itu, janganlah bertuhankan perut. Prinsip makan adalah untuk hidup dan beribadah, bukan sebaliknya."

Credit

No comments: