Monday 24 July 2017

4 Tips Kulit Cantik Dan Awet Muda Dari Doktor Pakar


Kulit yang sihat akan terpancar sebagai kulit yang cantik dan awet muda. Ia menjadi idaman kita semua untuk mempunyai kulit yang sentiasa tegang dan anjal tanpa cela dan kedutan. Jeragat, kedutan dan garis halus pada wajah adalah masalah yang biasa kita kaitkan dengan proses penuaan.

Apabila umur meningkat maka kolagen dan elastin dibawah kulit akan mengendur dan mengakibatkan masalah kedutan dan garis halus. Kesannya, kulit menjadi longgar, kendur, hilang lemak, nipis dan kasar. Tarikan graviti dan pergerakan otot muka kerana ekpresi muka selama bertahun-tahun menjadikan kulit muka mengendur ke bawah dan menyebabkan kedutan kasar.

Pendedahan kepada cahaya matahari secara berterusan, perubahan hormon dan merokok boleh menjadikan kulit cepat tua dan mudah berkedut dan juga menyebabkan masalah pigmentasi dan jeragat.


4 Tips Kulit Cantik Dan Awet Muda

Untuk mengekalkan kulit awet muda beberapa tips boleh diamalkan.

1. Minum air masak secukupnya

Air adalah satu faktor yang amat penting. Apabila semakin meningkat usia kita akan mengalami masalah kekurangan air di dalam badan. D isamping itu, sesetengah dari kita (terutamanya kaum wanita) amat kurang minum air kerana tidak suka untuk buang air kecil secara kerap.

Bagi pekerja pejabat yang duduk didalam pejabat yang berhawa dingin, kehilangan air juga adalah ketara kerana dalam kawasan berhawa dingin kelembapan adalah rendah menyebabkan kulit menjadi lebih mudah kering. Suasana yang sejuk dalam bilik berhawa dingin juga menyebabkan seseorang semakin kurang minum air.

Kesannya adalah kulit kehilangan kelembapan dan lebih mudah menjadi berkedut serta masalah jeragat juga.

Minumlah air kosong atau air mineral yang akan membantu kesegaran kulit dan elakkan pengambilan minuman manis, air bersoda dan jus manis. Pengambilan kopi dan teh secara berlebihan juga boleh menyebabkan masalah dehidrasi dan kulit kering kerana minuman ini menyebabkan seseorang kerap membuang air kecil.

Kurangkan penggunaan gula dan makanan dan minuman kerana gula yang berlebihan akan menyebabkan kulit cepat berkedut dan cepat tua. Ini adalah kerana gula berlebihan merosakkan lapisan kolagen di bawah kulit.


2. Perlindungan dari cahaya matahari 

Sinaran ultraungu (UV) dari cahaya matahari akan merosakkan kulit yang menyebabkan masalah jeragat dan kulit cepat berkedut.

Oleh kerana itu, perlindungan dari cahaya matahari amat penting.

Gunakan krim pelindung matahari yang mempunyai faktor pelindung matahari (SPF) 30 atau lebih apabila keluar melakukan aktiviti ditengah panas.

Anda juga boleh menggunakan produk yang mempunyai RSF iaitu ‘Radical Sun Factor’ yang boleh melindungi sel-sel daripada kerosakan akibat radikal bebas daripada matahari. Contoh produk yang mengandungi RSF yang baik adalah produk yang mengandungi Vitamin E jenis tokotrienol.

Penggunaan alat perlindung matahari fizikal seperti topi, payung, tudung kepala dan sebagainya juga boleh membantu memberikan perlindungan dari cahaya matahari. Elakkan keluar dibawah cahaya matahari pada waktu sinaran ultra ungu adalah pada tahap maksimum iaitu diantara pukul 10am ke 3pm waktu Malaysia. Kesan sinaran ultra ungu tetap memberikan kesan kepada kulit pada waktu ini, walaupun menggunakan krim pelindung matahari atau topi, tudung dan sebagainya.


3. Makan lemak sihat (Omega 3)

Ikan amat kaya dengan Omega 3.

Makanan yang kaya dengan omega 3 boleh membantu mencantikkan kulit dan mengurangkan masalah kedutan kulit.

Omega 3 akan menyeimbangkan asid lemak dalam tubuh dengan Omega 6 dan Omega 9. Lemak yang tidak seimbang menyebabkan kehilangan lemak dibawah kulit dan menyebabkan masalah kulit berkedut.

Pengambilan pil suplemen Omega 3 juga boleh membantu jika kita kurang makan ikan dan sumber asli Omega 3 yang lain. Omega 3 juga membantu mengelakkan kulit menjadi kering kerana ia lemak sihat yang bersifat anti keradangan. Lemak sihat yang boleh diamalkan juga adalah minyak zaitun dan minyak kelapa.

Amalkan lemak sihat untuk kulit yang lebih sihat dan berseri.


4. Pengambilan buah-buahan, sayur-sayuran dan suplemen

Pengambilan makanan yang kaya dengan Vitamin C seperti limau, jambu batu, buah kiwi, oren, sayur-sayuran dan sebagainya sangat bagus kerana Vitamin C membantu menghasilkan kolagen yang secukupnya untuk kulit.

Pengambilan pil suplemen Vitamin C juga boleh membantu jika seseorang kurang makan buah-buahan atau sayur-sayuran.

Suplemen Vitamin E dengan kedua-dua variannya iaitu tokotrienol dan tokoferol adalah sangat penting untuk kesihatan kulit kita.

Vitamin A juga penting untuk kesihatan kulit dan cara mengambil bahan pro Vitamin A adalah lebih mudah iaitu dengan mengambil buah-buahan atau sayur-sayuran yang kaya dengan beta karotin seperti lobak merah, tomato, tembikai dan sebagainya.

Pengambilan makanan yang kaya dengan anti oksidan boleh membantu mengurangkan masalah kedutan dan garis halus kulit. Anti oksidan membantu melindungi kulit dari kerosakan akibat radikal bebas dari sinaran ultra ungu matahari.

Semakin meningkat usia dan pendedahan kepada matahari dan pencemaran seperti asap kenderaan dan asap rokok akan meningkatkan tekanan oksidatif kepada kulit yang menyebabkan masalah kedutan kulit dan garis halus serta masalah jeragat. Kerana itu terdapat banyak produk dan krim kecantikan menggunakan bahan anti oksidan seperti Vitamin C, Vitamin A, Vitamin E, piknogenol, anthosianidin dan fitonutrien.


Amalkan pemakanan sihat, bersenam, suplemen dan anti oksidan yang secukupnya disamping minum air yang secukupnya setiap hari boleh membantu mengekalkan awet muda pada kulit terutama pada wajah seseorang.

Hidup beragama, stress terkawal dan sikap positif dalam menghadapi cabaran hidup juga amat membantu. Insyaallah.
 
Credit

1 comment:

Unknown said...

good sharing!stress free buat kita awek muda kan!tapi nak stress free tu payah!hahaha