Friday 28 July 2017

Anak-anak Stress? Apa Yang Boleh Dilakukan Ibu Bapa Untuk Atasinya


Stres bukanlah sesuatu yang hanya berlaku pada orang dewasa, kanak-kanak juga mengalami pelbagai stress, contohnya seperti harapan ibu bapa agar anaknya mencapai prestasi yang baik dalam aktiviti akademik dan bukan akademik.

Tiada cara mudah untuk mengelakkan stres dan stres juga tidak harus dilihat dari sudut negatif semata-mata. Ini kerana kesusahan juga boleh membantu anak anda membesar dan berkembang. Kuncinya ialah untuk sentiasa menyokongnya apabila dia memerlukan anda. Pada masa yang sama tahu bila untuk membiarkan dia menyelesaikan masalahnya sendiri.

Apabila anak anda mengembangkan lingkungan sosialnya, dia akan bertemu dengan lebih ramai orang dan terdedah kepada lebih banyak situasi yang membuatkan dia berasa stress.


Tanda-tanda Anak Anda Stress

Anak anda mungkin tidak sedar bila dia mengalami stres; kalaupun sedar, dia mungkin tidak boleh menyuarakan dengan baik perasaan stres atau kekecewaannya kepada anda. Sebagai ibu bapa, anda perlu berwaspada terhadap perubahan tingkah lakunya yang berlaku akibat stres.

Tanda-tanda lazim dilihat termasuk: 
  • merengsa atau kemurungan 
  • menarik diri daripada aktiviti-aktiviti yang selalunya dia gemar lakukan
  • kerisauan atau kebimbangan lebih daripada biasa
  • perubahan tingkah laku secara tiba-tiba di mana dia mahu lebih melekat/menyendiri, senyap/lebih bercakap, agresif atau berubah daripada tingkah laku biasanya
  • lebih banyak bersungut tentang keadaan fizikal seperti sakit kepala yang berulang/sakit perut, perubahan selera makan, terkencing malam
  • merungut mengenai keadaan fizikal tanpa sebarang penyakit
Ambil perhatian bahawa tingkah laku negatif tidak semestinya bermakna dia sedang berhadapan dengan stres yang teruk. Walau bagaimanapun, ia adalah tanda jelas bahawa terdapat sesuatu yang tidak betul. Sekiranya anda lihat tingkah laku sedemikian mulai muncul, ini bermakna anda perlu berikan perhatian dan respons yang wajar terhadap tingkah lakunya itu.

Apa Yang Boleh Dilakukan Ibu Bapa Untuk Menangani Anak Stress

Tidak kira apakah penyebabnya, lama-kelamaan stres boleh bertambah dan akhirnya anak anda akan menunjukkan tingkah laku yang tidak wajar dan tidak boleh diterima. Ini membuat mereka sukar untuk fokus pada pembelajaran atau berkembang menjadi masalah kesihatan. Sebagai ibu bapa, anda perlu mengawasi tingkah lakunya dan cuba untuk mengesan punca stress tersebut. Dengan mengkaji semula kejadian-kejadian terkini, anda boleh mengambil tindakan sewajarnya untuk membantu anak anda.


Berikut adalah perkara yang anda boleh lakukan untuk membantu anak anda mengatasi stres:

1. Galakkan anak anda untuk menggunakan kaedah bercakap dalam diri secara positif 

Anak anda mudah mengulangi fikiran-fikiran negatif di dalam mindanya. Ajar anak anda untuk menggantikan fikiran negatifnya dengan fikiran positif. Kanak-kanak cenderung mengikut jejak orang dewasa, oleh itu berhati-hati agar tidak menyuarakan komen ke atas diri sendiri yang negatif di hadapannya seperti ”Bodohnya saya kerana tersalah letak kunci!” Anda mungkin terkejut betapa banyaknya komen ke atas diri sendiri yang negatif yang anda guna, maka pastikan anda amalkan komen yang positif setiap peluang yang ada.

2. Ajar dia bagaimana untuk meleraikan sesuatu masalah 

Kemungkinan besar anak anda stres apabila dia perlu melakukan sesuatu tugasan. Berikan bimbingan dengan mengajar dia bagaimana untuk membahagikan tugasannya menjadi tugasan-tugasan kecil dan langkah-langkah yang lebih mudah dikendalikan. Mengambil langkah-langkah kecil akan membantu mengatasi sebarang kebimbangan yang mungkin dihadapi tentang kebolehannya untuk memulakan atau menyempurnakan sesuatu tugasan.

3. Fokus kepada usahanya bukan hasil 

Ingatlah bahawa tiada siapa yang sempurna. Keresahan dan kebimbangan merupakan beberapa perasaan yang dirasakan. Pada masa-masa seperti ini, anda haruslah lebih menyokong dan tekankan bahawa semua orang membuat kesilapan dan ia adalah sebahagian daripada kehidupan. Ini adalah peluang terbaik untuk mendidik anak anda bahawa apa yang dia lakukan seterusnya adalah penting, iaitu mengakui kesilapannya dan mengambil tindakan pembetulan yang wajar.

4. Beri dia masa untuk berehat 

Bekerja tanpa rehat menjadikan badan semakin tidak sihat. Semua orang perlu berehat daripada tekanan harian, termasuk kanak-kanak. Ramai kanak-kanak tertakluk bukan sahaja pada aktiviti akademik dan kokurikulum di sekolah, tetapi juga pada kelas-kelas tambahan di luar waktu persekolahan dan pada hujung minggu. Awasi anak anda dan apabila dia kelihatan stres atau keletihan, bermakna masanya sudah tiba untuk dia berehat. Cari aktiviti yang anda tahu yang dia gemar atau aktiviti baharu yang boleh membuat anak anda relaks.

5. Ajar dia untuk bertenang dan fokus 

Bantu anak anda mencari jalan untuk menenangkan dirinya seperti mendengar muzik, bersiar-siar, berjoging, yoga atau sebarang aktiviti positif. Cuba untuk tidak bergantung kepada peralatan elektronik kerana keburukannya melebihi kebaikan.


Walaupun terdapat pandangan negatif mengenai stres, stres yang sederhana sebenarnya boleh membawa kebaikan. Ia menjadi sumber motivasi yang akan membuat anak anda berusaha dengan lebih gigih untuk menjadi cemerlang dalam semua perkara yang dilakukan. Kuncinya ialah untuk mencegah stres daripada menjadi terlalu berat dengan mengajarnya mengendalikan stres dengan baik. Anda akan mendapati bahawa ini adalah satu kemahiran yang sangat berguna baginya sehingga dewasa.

Akhir sekali, jika anda telah berusaha sedaya upaya namun stres anak anda masih terus menjadi kebimbangan, dapatkan nasihat profesional terlatih seperti pakar pediatrik, pakar psikologi atau pakar psikiatri kanak-kanak, jika perlu.



No comments: