Tuesday 19 May 2015

Tips Pemakanan Semasa Berpantang


Tempoh berpantang adalah tempoh yang penting bagi ibu-ibu untuk merawat, menyucikan dan memulihkan tubuh selepas bersalin.

Ibu-ibu yang baru lepas bersalin kebiasaannya akan berusaha menjaga kesihatan diri dengan mematuhi amalan semasa dalam pantang, ekoran daripada kesan proses mengandung dan bersalin yang perlu diperbetul, dijaga dan dicegah supaya tubuh dapat kembali kepada keadaan asal.

Ini termasuk proses pemulihan akibat :
  • kehilangan darah semasa bersalin
  • pengecutan rahim
  • keseimbangan hormon
  • ketegangan urat saraf semasa proses bersalin
  • kehilangan tenaga semasa proses bersalin.
  • perubahan bentuk badan
Pemakanan yang baik merupakan kunci utama untuk membolehkan ibu-ibu terus kekal sihat selepas bersalin. Rehat yang cukup juga amat penting untuk proses pemulihan.

Pantang-larang makanan selepas bersalin merupakan suatu kepercayaan yang diamalkan oleh sesebuah masyarakat yang mengaitkan sesuatu makanan dengan kemudarataan kepada ibu lepas bersalin, dan harus dielak dalam satu tempoh yang dipanggil tempoh berpantang. Hampir semua masyarakat di Malaysia mempunyai kepercayaan pantang-larang ini.

Walau bagaimanapun, daripada segi perubatan dan kajian saintifik, tiada yang membuktikan bahawa makanan-makanan ini akan memberi kemudaratan kepada ibu lepas bersalin dan perlu dielakkan.


Namun kunci utama iaitu pengambilan makanan yang seimbang dan sihat perlulah dipatuhi untuk kekal sihat.
Perkara ini penting untuk memastikan semua keperluan nutrien yang diperlukan dapat diperoleh untuk memulihkan kesihatan ibu serta menjayakan penyusuan susu ibu.

Mitos dan Fakta Dalam Amalan Pantang-larang Pemakanan Semasa Berpantang
  1. Jangan makan ubi-ubian ?
Mitos
Ibu dalam pantang tidak dibenarkan makan makanan daripada jenis ubi-ubian seperti keledek, keladi dan ubi kayu kerana makanan ini dipercayai mengganggu proses pencernaan dan menyebabkan ibu kembung perut.
 
Fakta
Ubi-ubian merupakan makanan bijirin yang membekalkan karbohidrat sebagai sumber tenaga.
Jika ibu tidak boleh mengambil ubi-ubian semasa dalam pantang, ibu boleh mengambil makanan gantian daripada kumpulan bijirin yang lain seperti nasi sebagai sumber karbohidrat dalam diet ibu.
  1. Mengelak makanan 'sejuk' ?
Mitos
Sayur-sayuran dan buah-buahan seperti kangkung, petola, terung, timun, tembikai dan pisang dianggap ’sejuk’ dan tidak boleh diambil oleh ibu dalam pantang.
Mengelakkan makanan sejuk dikatakan dapat membantu melancarkan pengaliran darah dan melambatkan proses pemulihan. Makanan sejuk menyebabkan kembung perut, kejang otot dan sakit-sakit badan.
Fakta
Tiada kajian saintifik yang dapat membuktikan bahawa mengelak makanan-makanan ini memberi sebarang faedah kepada kesihatan  ibu dalam pantang.
Pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan amat penting sebagai sumber:
  1. vitamin
  2. mineral
  3. fitokimia
  4. serat.
Serat amat penting untuk melancarkan pembuangan najis bagi mencegah masalah sembelit yang sering kali dialami oleh ibu yang baru bersalin.
Malaysia kaya dengan kepelbagaian sayur dan buah. Oleh yang demikian, ibu yang dalam berpantang boleh memilih sayur dan buah yang tidak dianggap sebagai ’sejuk’ untuk memastikan keperluan harian buah dan sayur dapat penuhi. Contohnya :
  • sayur-sayuran : sawi hijau, bayam, kucai, ulam-ulaman (contoh : pegaga, daun cekur dan ulam raja).
  • buah-buahan : oren, betik dan pisang.
  1. Ikan, ayam dan telur adalah 'bisa' ?
Mitos
Beberapa jenis ikan, ayam, telur dan beberapa jenis buah-buahan seperti nenas dianggap sebagai ’bisa’ dan ’tajam’. Makanan berbisa dikatakan boleh melambatkan penyembuhan luka bersalin serta boleh menyebabkan pendarahan bagi ibu dalam pantang.
 
Fakta
Makanan ini merupakan sumber baik bagi :
  • protein
  • vitamin
  • garam mineral.
Ibu dalam pantang perlu mengambil secukupnya makanan sumber protein seperti ikan, ayam, telur dan kekacang. Sumber protein amat penting untuk memulihkan luka akibat bersalin sama ada luka faraj atau pembedahan. Salah satu fungsi protein adalah pembentukan tisu-tisu badan yang membantu luka untuk sembuh.
Selain itu, makanan ini juga membekalkan zat besi yang penting untuk pembentukan sel darah merah bagi menggantikan darah yang banyak hilang semasa proses kelahiran  dan dapat mencegah masalah anemia. Kekacang juga merupakan sumber serat yang baik.
Ibu selepas bersalin memerlukan banyak protein. Oleh itu, elakkan amalan hanya mengambil ikan kering semasa berpantang kerana ini boleh memudaratkan kesihatan. Pastikan diet harian ibu mengandungi sumber makanan daripada kumpulan ini.
  1. Ibu dalam pantang tidak boleh minum air ?
Mitos
Ibu dalam pantang tidak boleh minum air dengan banyak kerana dipercayai boleh menyebabkan urat saraf menjadi kembang.
 
Fakta

Ibu dalam pantang perlu minum air secukupnya iaitu 6-8 gelas sehari. Kepercayaan ibu dalam pantang perlu mengehadkan pengambilan air adalah perlu dielakkan. Pengambilan air yang mencukupi penting untuk :
  1. memulihkan kecergasan badan
  2. keseimbangan elektrolit
  3. mengawal suhu badan.
Pengambilan air secukupnya amat penting bagi ibu yang menyusukan bayi untuk menggantikan air yang diguna untuk menghasilkan susu ibu. Seseorang ibu menghasilkan anggaran 800ml atau 4 gelas susu ibu sehari.


Ibu dalam pantang dinasihatkan agar tidak mengamalkan pantang-larang pemakanan yang keterlaluan sehingga mengehadkan jumlah pengambilan makanan dan air atau tidak mengambil sumber makanan daripada kumpulan makanan yang tertentu.

Prinsip makan secara sihat perlu diamalkan agar ibu sentiasa cergas, ceria dan sihat semasa dalam pantang.

Thanks for reading!
Semoga artikel ini bermanfaat ya :)

 

No comments: