Semasa mengandung, anda bukan sahaja
perlu meningkatkan jumlah pemakanan anda, tetapi yang lebih penting
ialah apa yang anda makan. Kebiasaannya, wanita mengandung memerlukan
penambahan 300 kalori/hari daripada biasa terutamanya semasa trimester
terakhir di mana bayi membesar dengan pantas. Penambahan 300 kalori
sehari tersebut penting diperolehi daripada makanan yang berkhasiat
supaya ia boleh menyumbang kepada pembentukan dan perkembangan bayi.
Pertambahan Berat Badan Semasa Mengandung
Pernahkah anda terfikir mengapa berat
badan anda bertambah 10-15 kg (secara purata) semasa anda mengandung
sedangkan berat bayi yang baru lahir hanya ¼ daripada itu? Walau pun
ianya berbeza bagi setiap individu wanita yang mengandung, faktor-faktor
di bawah menyumbang kepada pertambahan berat badan:
-
Berat bayi : 2.5 - 3 kg
-
Penyimpanan protein, lemak dan nutrien lain yang berlebihan : 2.75 - 3 kg
-
Penambahan darah : 1.5 – 2 kg
-
Penambahan cecair badan yang lain : 1.5 - 2kg
-
Pembesaran payudara : 0.75 – 1 kg
-
Pembesaran uterus (rahim) : 0.75 – 1 kg
-
Cecair amniotik (air ketuban) : 0.75 – 1 kg
-
Plasenta (uri) : 0.5 – 0.75 kg
Selain daripada penambahan berat bayi,
faktor-faktor lain juga penting untuk memastikan fisiologi ibu berubah
mengikut keperluan ibu mengandung. Corak penambahan berat semasa
mengandung bagi individu juga berbeza. Jika anda mula mengandung semasa
berat badan berlebihan, berat anda mungkin akan turun sedikit pada awal
trimester manakala penambahan akan berlaku bagi ibu yang kurus atau
mengandung anak kembar.
Pemakanan Semasa Mengandung
Semasa mengandung, apa sahaja yang anda
makan dan minum merupakan sumber utama nutrien bagi bayi anda. Pemakanan
anda berkait rapat dengan kesihatan bayi sehinggakan kebanyakan doktor
menasihatkan supaya tidak mengambil sebarang risiko dengan makan makanan
yang berkemungkinan memudaratkan bayi seperti alkohol.
Sama ada anda mengandung atau tidak,
diet yang sihat merangkumi protein, karbohidrat, lemak, vitamin, mineral
dan air yang mencukupi. Jika anda mengamalkan pemakanan mengikut sistem
piramid makanan, ini menunjukkan yang anda berpotensi untuk menjadi
individu yang sihat.
Penting bagi ibu mengandung untuk
memvariasikan makanannya bagi memperoleh semua keperluan nutrisi ibu dan
bayi. Makanan yang perlu dimakan semasa mengandung ialah:
-
Buah-buahan dan sayur-sayuran – target untuk makan 5 hidangan sehari termasuk sebagai snek, jus dan salad.
-
Makanan berkanji – roti, nasi, pasta, ubi kentang. Banyakkan bijirin penuh (wheat, whole grain)
-
Makanan berprotein tinggi – Daging, ayam, ikan, telur, kekacang (soya). Banyakkan makan ikan sekurang-kurangnya 2 kali seminggu.
-
Makanan berkalsium tinggi – Susu, yoghurt, cheese.
-
Makanan berserat tinggi – Jadikan sayur, buah, bijirin dan kekacang sebagai makanan kegemaran kerana ia boleh mengelakkan sembelit.
Minum banyak air dan elakkan makanan
berlemak dan bergula tinggi seperti kek dan coklat kerana ia
mengakibatkan pertambahan berat badan berlebihan dan seterusnya
meniggikan risiko mendapat kencing manis (gestational diabetes mellitus)
Jika anda sukakan snek, ambil raisin,
biskut bijirin penuh (Jacob’s atau IKO), salad buah, yoghurt atau
sebarang makanan bernutrisi yang lain.
Perkara Yang Perlu Diambil Berat Semasa Membeli Makanan
Makanan basah seperti ikan, ayam dan
daging harus dibeli segar dan dijamin kebersihannya. Pastikan
sayur-sayuran dan buah juga segar dan tidak mengandungi pestisid
(kebiasaannya, sayur berlubang dimakan ulat atau serangga tiada
pestisid).
Bagi makanan yang dibungkus atau dalam tin, baca label
makanan yang menunjukkan kandungan nutrisi dan kalori makanan tersebut.
Terdapat juga label makanan yang memberikan cadangan hidangan yang
bersesuaian bagi diet seharian.
Apabila anda mengandung, cadangan
hidangan bersesuaian juga sebenarnya bertambah seiring dengan keperluan
untuk penambahan kalori. Periksa label makanan sebelum membelinya supaya
makanan tersebut dapat dipastikan:
-
HALAL kerana makanan akan menjadi darah daging anda dan bayi
-
Berkhasiat untuk kesihatan anda dan bayi
Perhatikan juga tarikh lupus (expiry
date) makanan dan pastikan pembungkus / tin makanan dalam keadaan
sempurna (tiada kebocoran, tercemar, kemek). Walau pun nampak remeh,
tetapi ia sebenarnya penting kerana makanan yang tercemar atau sudah
lupus tarikhnya boleh menyebabkan anda keracunan makanan sekaligus boleh
memudaratkan kesihatan bayi anda.
Bagaimana Anda Tahu Yang Pemakanan Anda Sihat Semasa Mengandung
Kunci utamanya ialah dengan
mempelbagaikan pengambilan makanan dalam kumpulan yang berbeza-beza
(seperti yang dicadangkan di atas) dengan jumlah yang mencukupi. Jangan
risau jika anda mengalami alahan yang teruk dan tiada selera makan pada
trimester pertama. Keadaan ini tidak akan memberikan impak yang besar
kepada bayi anda kerana bayi akan mendapat nutrisi terdahulu daripada
anda sebaik sahaja anda makan.
Bagi yang mengalami alahan yang mencapai
trimester kedua sehingga bersalin, pastikan anda tetap makan makanan
berkhasiat- biar sedikit tetapi kerap.
Walau pun penambahan berat badan
ideal semasa mengandung yang dicadangkan ialah 10-15 kg (kebiasaannya
1.5 – 2.5 kg pada trimester pertama dan 0.25 - 0.5 kg / minggu pada
trimester ke -2 dan 3), jangan hadkan diri anda. Sebaliknya, fokus pada
pemakanan yang sihat dan seimbang untuk memastikan anda dan bayi sihat.
No comments:
Post a Comment