Tahukah anda bahawa minyak masak yang telah digunakan berulang kali sebenarnya boleh membahayakan kesihatan. Pada masa yang sama, ia perlu juga dihadkan walaupun resipi menyatakan lebih sedap jika minyak digunakan dalam kuantiti yang banyak. Ini kerana, semasa menggoreng minyak masak melepaskan sisa toksik yang dikenali sebagai aldehydes di mana ia boleh mencemarkan udara seterusnya lepas masuk ke dalam sistem pernafasan manusia.
Bukan setakat itu sahaja, sisa toksik ini akan tertinggal dan terkumpul di dalam minyak sewaktu menggoreng. Atas sebab itulah penggunaannya secara berulang kali amat tidak digalakkan. Sudahnya, makanan yang menggunakan minyak tersebut juga akan menyerap sisa toksik yang nyata membahayakan kesihatan. Berikut adalah beberapa tip yang boleh dipraktikkan sewaktu menggunakan minyak masak.
5 Tip Guna Minyak Masak Elak Bahaya
1. Hadkan penggunaan
Pengambilan makanan yang digoreng menggunakan minyak secara berulang kali sebenarnya menjejaskan kesihatan sekaligus berisiko untuk mendapat penyakit seperti salur darah tersumbat, keras dan tebal, masalah hati, jantung, Alzheimer, Parkinson dan barah hati. Justeru, sebaik-baiknya, gunakan minyak masak paling maksimum dua ke tiga kali tetapi bergantung juga kepada perubahan warna minyak tersebut. Sekiranya ia bertukar gelap walaupun baru dua kali digunakan maka lebih baik buangkan sahaja.
2. Buang minyak goreng ikan
Menjadi kelaziman ramai suri rumah yang gemar menyimpan dan menggunakan semula minyak-minyak menggoreng ikan, ayam, udang dan daging. Jika dilihat dari sudut kesihatan, ia perlu diganti bagi setiap penggunaan. Maksudnya minyak hanya boleh digunakan sekali sahaja.
Relevannya, darah ikan, ayam atau daging yang bercampur ke dalam minyak berpotensi tinggi meningkatkan kandungan karbon sekaligus mengubah struktur asid lemak yang ternyata membahayakan kesihatan.
3. Jangan rendam terlalu lama
Demi menjimatkan kos bukan saja suri rumah malah peniaga turut menggunakan semula minyak yang telah digoreng sebelumnya. Jika tiada pilihan, maka dibolehkan (untuk kali kedua dan ketiga) tetapi bahan gorengan tidak boleh direndam (dimasak) terlalu lama di dalam minyak. Pada masa yang sama, pastikan juga warna minyak tidak hitam atau keperangan yang gelap selain sisa gorengan siap di tapis terlebih dahulu.
4. Waspada minyak hangus
Makanan seperti sate, roti bakar, char kuetiau atau apa sahaja yang berwarna hitam sebenarnya tidak bagus untuk kesihatan. Ini kerana, makanan tersebut mengandungi bahan toksik HNE atau 4-hydroxy-trans-2 nonel yang tinggi.
Tempiasnya juga terkena pada minyak yang digunakan. Sekiranya diteruskan dalam satu tempoh masa yang panjang maka tidak mustahil ia mampu meningkatkan risiko mendapat penyakit keradangan seperti kanser.
5. Minyak terbaik
Pada asasnya, minyak masak terdiri dari dua komponen utama iaitu lemak tepu dan lemak tidak tepu sementara lemak tidak tepu terbahagi kepada lemak mono tidak tepu dan lemak poli tidak tepu. Minyak kelapa sawit dikategorikan sebagai lemak tepu tetapi ia masih boleh digunakan untuk masakan yang bersuhu tinggi atau deep fried (goreng ayam atau daging).
Berikut adalah beberapa jenis minyak mono tidak tepu yang mana ia bagus tetapi mudah terurai seterusnya meningkatkan kolestrol baik di dalam tubuh. Selain itu, terdapat juga sumber omega 3 dan 6 di dalamnya di mana ia amat diperlukan oleh badan:
- Minyak zaitun
- Minyak kacang
- Minyak badam
- Minyak avocado
- Minyak bunga matahari
Walau bagaimanapun, dalam usaha memastikan kesihatan sentiasa di paras yang optimum, maka hadkan makanan bergoreng, sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Empat hari selebihnya gantikan kepada menu kukus, rebus, panggang atau gril. Ingat, penggunaan minyak yang berlebihan boleh menjejaskan kesihatan sekaligus menyumbang kepada pelbagai penyakit bahaya termasuklah kegemukan dan peningkatan kolstrol dalam badan.
Thanks for reading.
Semoga bermanfaat :)
No comments:
Post a Comment